Cinta

Tiada perkara lain yang mampu menggembirakan hidup kita selain daripada memiliki perhubungan heart50yang indah dan memenuhi kepuasan diri kita. Pengertian yang mendalam terhadap pasangan, saling memahami dan menghargai akan menjadikan setiap perhubungan bagaikan tiada tandingan. Dan, sudah tentu, semua orang tahu bahawa putus cinta dengan orang yang begitu anda sayangi boleh membuatkan anda menderita.

 

Ya, perhubungan boleh membuatkan dunia anda ligat berputar. Sama ada untuk kebaikan mahupun sebaliknya. Tetapi hal yang menarik yang ingin dinyatakan adalah banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan peluang kita untuk menjadikan perhubungan kita lebih hebat – iaitu perhubungan yang memuaskan dan menyeronokkan, kaya dengan makna, menggembirakan dan kasih sayang. Ada beberapa perkara asas yang mengendali atau mengawal kebanyakan perhubungan manusia dan perkara-perkara asas tersebut akan saya rangkumkan di bawah. Berikut adalah lapan perkara asas yang saya percaya boleh membantu untuk membentuk dasar kukuh untuk perhubungan yang sihat.

 

  1. Cinta. Sekarang, semuanya tergantung dengan anda bagaimana untuk mendefinisikan cinta. Kebanyakan orang berfikir bahawa cinta itu adalah perasaan, tetapi saya dengan keras mencabar pendapat tersebut. Sebenarnya, konsep ‘suka’ itu adalah mengenai perasaan. Apabila anda berkata anda suka akan seseorang, biasanya anda berbicara tentang perasaan anda terhadap seseorang. Cinta itu lebih dalam maknanya berbanding perasaan. Cinta itu adalah satu komitmen kita terhadap seseorang untuk senantiasa melayani mereka secara benar dan terhormat. Ya, bagi mereka yang menjadi semakin akrab dengan kita, kita akan mudah mempunyai perasaan suka, tetapi saya percaya ini adalah masanya untuk kita kembali menilai apa maksud sebenarnya cinta. Kita harus meluaskan pengertian definisi cinta dengan memasukkan aspek komitmen di dalam percintaan. Untuk perhubungan yang sihat, kita harus mengasihi semua orang. Kita mungkin tidak menyukai mereka berdasarkan bagaimana perasaan kita terhadap mereka, tetapi kita seharusnya mencintai mereka berdasarkan definisi cinta yang telah dinyatakan di atas, yang mana akhirnya menentukan bagaimana harus kita bertindak terhadap mereka; iaitu, memperlakukan mereka dengan benar dan terhormat. Ini adalah asas kepada semua perhubungan yang sihat.

 

  1. Hati Yang Melayani. Teman baik saya Zig Ziglar sering berkata, “Anda boleh memiliki segala yang diingini di dalam hidup ini jika anda membantu orang lain untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan di dalam hidup mereka.” Konsep yang dibicarakan oleh beliau adalah memiliki hati dan hidup yang fokusnya melayani hidup orang lain. Di dalam Alkitab, konsep tersebut dinyatakan seperit ini: ambil kira minat orang lain lebih daripada minat anda sendiri. Ini juga adalah dasar kepada perhubungan yang sihat.

 

  1. Komunikasi Yang Jujur. Di dalam perhubungan yang baik anda akan menemukan dua bentuk komunikasi yang sihat, iaitu terbuka dan jujur. Komunikasi itu sangat penting kerana ia merupakan alat yang membolehkan kita menyatakan isi hati kita dan juga alat berinteraksi dengan orang lain. Bukankah komunikasi itu sangat luar biasa? Satu pihak mempunyai perasaan akan sesuatu, dan melalui komunikasi, satu pihak yang lain akan mengetahui isi hati kita dan merasa apa yang kita rasa – luar biasa. Dan ini adalah matlamat yang sangat penting di dalam perhubungan – untuk berkomunikasi, untuk memaklumkan kepada pasangan masing-masing apa yang sedang difikirkan dan apa yang sedang dirasakan. Ia membolehkan kita saling berinteraksi. Kadangkala kita yang harus berbicara dan kadangkala kita yang harus mendengar. Mana-mana belah pihak pun, komunikasi haruslah dijadikan sebagai rukun dan pusat untuk membina perhubungan dan menjadikan perhubungan lebih kuat. Cuba perhatikan hal yang menarik ini: Sekiranya kita hanya berkomunikasi, kita boleh mengatasi banyak perkara. Tetapi, sekiranya kita berkomunikasi secara cekap, kita akan melihat mukjizat berlaku!

 

  1. Kemesraan. Mudah sahaja, sesuatu perhubungan akan lebih berkesan sekiranya kita mesra dengan orang lain. Bersikap mesra boleh mengurangkan ketegangan atau kesukaran yang sedang kita lalui. Keceriaan atau kegembiraan sangat diperlukan untuk membina perhubungan yang berpanjangan. Maksud saya, tiada seorang mahu bersama dengan perengus, betul? Faktanya, semakin anda mesra dengan orang lain semakin anda menemukan orang yang ingin memiliki perhubungan berkekalan yang saling menguntungkan bersama dengan anda. Maka bergembiralah, senyumlah, keluarkanlah perkataan-perkataan yang baik terhadap orang lain, layanilah orang lain dengan layanan yang mesra dan anda akan melihat perkembangan positif di dalam perhubungan anda.

 

  1. Kesabaran. Manusia tetap manusia, dan oleh itu kita akan mengalami banyak kesukaran di dalam mengamalkan sikap bersabar. Manusia tidak semuanya sempurna dan orang akan sering mengecewakan kita. Dan kita juga akan mengecewakan orang lain. Sering kali, saya berfikir bahawa perhubungan gagal disebabkan oleh sikap berputus asa dan hilang kesabaran. Saya berbicara tentang pelbagai jenis perhubungan, baik persahabatan, pernikahan, perhubungan perniagaan dan sebagainya. Penyelidikan mutakhir mendapati bahawa pasangan yang sudah melalui pergolakan besar, dan berjaya melaluinya, pernikahan mereka menjadi sangat kuat. Kesabaran mengatasi segalanya. Mereka yang menyerah terlalu awal di dalam perhubungan, semata-mata kerana (kononnya) pasangan mereka tidak sempurna, sering kali lupa bahawa sahabat, pasangan atau rakan perniagaan yang baru tetap juga tidak akan sempurna! Maka kita akan menjadi lebih baik sekiranya kita belajar untuk lebih bersabar.

 

  1. Kesetiaan. Kesetiaan adalah satu komitmen terhadap orang lain. Sayangnya, kesetiaan sering kali menjadi elemen yang tercicir di dalam perhubungan hari ini. Kita sudah lupa akan maksudnya untuk menjadi setia. Mentaliti konsumer kita hari ini sudah banyak berubah. Orang tidak lagi setia terhadap sesuatu produk. Dan malangnya, banyak syarikat juga tidak setia terhadap pelanggan atau pengguna mereka. Hal ini sangat dikesali kerana turut mencemari perhubungan sesama kita. Perhubungan hari ini umpama aktiviti tukar beli barang mahupun jenama. Kadangkala, kita harus sanggup untuk menjadi setia untuk membenarkan perhubungan maju ke tingkat seterusnya. Kesetiaan seperti inilah yang akan membawa kita kepada perhubungan yang lebih bermakna. Perhubungan akan menjadi lebih bermakna dan terjamin sekiranya pasangan anda setia kepada anda dan anda juga memperlakukan hal yang sama kepada pasangan anda – sekiranya salah satu daripada kita tidak berbuat demikian, perhubungan kita tidak akan ke mana-mana apalagi bila keadaan menjadi semakin sukar. Wah, sangat berkuasa!

 

  1. Satu Tujuan Yang Sama. Salah satu asas kepada perhubungan yang sihat adalah untuk memiliki tujuan yang sama, dan sering kali komponen ini kita terlepas pandang, tetapi untuk perhubungan jangka panjang, hal ini sangat penting. Fikirkan berapa ramai sahabat yang anda pernah temui sepanjang anda bergerak dengan satu tujuan yang sama. Mungkin seseorang yang anda temui semasa penglibatan diri dalam sukan, atau semasa bekerja untuk satu kempen politik, menghadirkan diri di gereja, di pejabat, atau apa sahaja yang membawa anda bekerjasama untuk satu tujuan yang sama. Tujuan yang sama membawa anda kepada satu hubungan yang akrab dan menguatkan kesatuan anda. Kerja bersama-sama, saling membangunkan antara satu dan yang lain, jatuh dan bangun bersama-sama – semuanya kerana mengejar satu tujuan yang sama – itulah perhubungan yang sepatutnya. Carilah orang yang mempunyai satu tujuan yang sama dengan anda dan anda akan meraih hasilnya di dalam perhubungan, akhirnya menuai hasil daripada kesatuan yang sihat.

 

  1. Keseronokan. Di dalam semua perhubungan yang baik harus ada elemen keseronokan. Baiklah, tidak semestinya keseronokan yang kecoh dan membingitkan atau ketawa terbahak-bahak, walaupun hal-hal itu juga penting di dalam perhubungan. Malah di dalam dunia perniagaan juga memerlukan sedikit keseronokan. Sesungguhnya sangat menyeronokkan untuk melakukan perniagaan bersama orang yang akan ada hubungan perniagaan jangka panjang dengan kita. Keseronokan membawa kenikmatan kepada perhubungan dan hal ini sangat penting. Saya berfikir kadangkala elemen penting ini sangat mudah dilupakan dan diabaikan di dalam keluarga kita dan pasangan hidup kita. Perlu diingatkan bahawa perkara yang menyeronokkan yang kita lakukan di peringkat awal setiap perhubungan, pada waktu tertentu, diambil mudah atau mudah menjadi hambar, menyebabkan keseronokan terhenti diciptakan. Maka ambillah sikap berusaha dengan sengaja untuk mencipta satu situasi atau masa yang menyeronokkan, kerana keseronokan yang seperti itulah yang senantiasa kita ingat dan menjadikan hidup kita semakin bermakna.

 

Setiap daripada lapan komponen yang telah kita bincangkan akan membawa dinamik yang unik dan mendatangkan kepuasan kepada perhubungan anda. Mari kita mulakan dengan memberi tumpuan memperbaiki perhubungan kita di dalam lapan hal ini dan saya yakin anda akan melihat mukjizat terjadi!

 

Latar Belakang Penulis

Jim Rohn adalah tokoh yang dianggap sebagai seorang ahli Falsafah Perniagaan Amerika Syarikat Terkemuka  (America’s Foremost Business Philosopher), selama lebih daripada 46 tahun beliau banyak berkongsi mengenai falsafah kejayaan dan prinsip beliau kepada lebih 6,000 penonton dan lebih daripada lima juta orang di seluruh dunia. Jim adalah penerima anugerah rebutan iaitu CPAE Award pada tahun 1985 kerana kecemerlangan beliau dalam pengucapan umum dan beliau juga adalah penerima anugerah Masters of Influence Award daripada Persatuan Pengucapan Umum Kebangsaan (National Speakers Association) pada tahun 2004.

(Artikel ini diambil daripada http://www.success.com/article/8-traits-of-healthy-relationships

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: